11/07/2011

Modul dalam PLKN

Modul Fizika

Modul Fizikal adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina kemahiran dan ketahanan mental, emosi, spiritual dan fizikal bagi menjadikan peserta Program Latihan Khidmat Negara sebagai warganegara yang berkesan. Secara khususnya, latihan-latihan yang dilalui dapat mengeratkan perpaduan di kalangan peserta, mempertingkatkan ketabahan mental bagi tujuan hidup (survival), daya kepimpinan, disiplin dalaman, keyakinan diri, kemahiran bekerja sebagai ahli satu pasukan, kemahiran menyelesai masalah, membuat keputusan secara individu dan dalam kumpulan. Di samping itu, peserta akan dilatih oleh para jurulatih untuk mempelajari melalui pengalaman dalam aktiviti-aktiviti seperti kawad, kraf hutan, pertolongan cemas, membaca peta, kompas, latihan pandu arah, menyeberangi sungai, merempuh halangan, aktiviti menggunakan tali (litar tali tinggi dan rendah), merentas desa, seni mempertahankan diri, aktiviti air, kembara hutan dan lain-lain. Modul ini dilaksanakan selama empat minggu di dalam dan di persekitaran tapak perkhemahan.

Modul Kenegaraan

Modul Kenegaraan adalah sebuah modul yang diaplikasikan untuk memperluaskan pengetahuan tentang kenegaraan (nation-building) dan meningkatkan perasaan cinta serta pengorbanan para peserta program kepada negara. Melalui latihan dalam kumpulan, jurulatih memimpin kumpulan untuk mempelajari tentang kenegaraan yang merangkumi tanah air, rakyat, kerajaan, kedaulatan dan cabaran-cabaran dalam dan luar negara. Melalui elemen Tanah Air, peserta akan dibantu membina serta memupuk rasa sayang kepada tanah air dan sanggup mempertahankannya. Peserta membincangkan tentang negara dari segi aspek geografi, keindahan bumi ini, hasilnya, sempadan dan lain-lain. Peserta dapat mengetahui asal-usul pelbagai ras, etnik, membina rasa sayang sesama etnik dan antara etnik, memahami kepentingan bersatu-padu melalui aktiviti seperti menganalisis fakta tentang etnik, mengharmonikan perbezaan, memahami persamaan dan sebagainya melalui elemen Rakyat. Elemen Kerajaan pula membantu peserta memahami bagaimana negara (tanah air, rakyat, kedaulatan) ini ditadbir dan diurus, melalui sistem pentadbiran, undang-undang, perlembagaan dan lain-lain. Peserta memahami kepentingan dan cara untuk mempertahankan kebebasan negara melalui elemen Kedaulatan. Cabaran dari dalam dan luar negara juga diperbincangkan supaya peserta menyedari peluang dan ancaman yang datang secara berterusan. Modul ini dilaksanakan selama tiga minggu dan pelbagai kaedah digunakan seperti lawatan, simulasi, lakonan, dinamik kumpulan, menonton gambar, melukis, berdebat, mentafsir peristiwa dan lain-lain.

Modul Pembinaan Karakter

Modul Pembinaan Karakter adalah sebuah modul yang dilaksanakan untuk membina karakter yang berkesan bagi para peserta yang merangkumi diri, keluarga, komuniti dan negara. Terdapat dua komponen yang akan dilalui peserta di mana yang pertama berfokus kepada pembinaan diri dan kedua adalah tentang diri dengan orang lain. Di dalam komponen pertama, peserta melalui proses penerokaan diri sendiri, menyedari dan mengenal pasti ciri-ciri diri (seperti aspek kepimpinan), memperkayakan kekuatan dan memulihkan kelemahan diri. Peserta menyedari tentang penglibatan orang lain dalam kehidupan mereka, mengetahui kemahiran untuk bekerja sebagai ahli satu pasukan, cara bertindak sebagai pemimpin dalam kumpulan, dan mengatasi masalah di dalam kumpulan semasa melalui komponen kedua modul ini. Melalui aktiviti-aktiviti ceramah, permainan, latihan dan lain-lain, peserta belajar tentang kejujuran, membuat pilihan, bertanggungjawab, memimpin, menunaikan janji (komitmen) dan membina keyakinan diri. Modul ini dilaksanakan selama dua minggu dan peserta dipimpin oleh jurulatih.

Modul Khidmat Komuniti

Kehidupan ini tidak akan memberikan sebarang makna sekiranya kita tidak mempunyai kekuatan untuk mencuba sesuatu.” Kesukarelaan dan jatidiri yang kukuh dan padu perlu dijanakan dalam diri setiap individu untuk menyuburkan kekuatan serta keyakinan diri. Dengan itu, sebagai langkah merealisasikan aspirasi tersebut, Program Latihan Khidmat Negara telah dilaksanakan dengan memperkenalkan beberapa modul tertentu kepada para pelatih yang berumur 18 tahun. Salah satu modul yang terdapat dalam pelaksanaan Program latihan Khidmat Negara ialah Modul Khidmat Komuniti . Modul khidmat komuniti mempunyai lima komponen utama iaitu kemudahan awam, kejiranan, khidmat sosial, alam sekitar dan penempatan di Jabatan. Ini bermakna, sepanjang program berjalan, para pelatih akan melalui kelima-lima komponen tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan .

Objektif
Secara umumnya, Khidmat komuniti dalam Program Khidmat Negara adalah latihan amali di dalam komuniti berdasarkan latihan yang telah dilalui oleh para pelatih dalam komponen perkhemahan (modul fizikal), kenegaraan dan pembinaan karektor. Teras Program Latihan Khidmat Negara adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang berdisiplin, bersemangat waja, berkeyakinan diri, setia kepada Negara, sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran dan dugaan serta untuk memupuk kerjasama dan perpaduan dikalangan pelbagai kaum di Negara ini.

Remaja dewasa ini harus memahami kepentingan hidup bermasyarakat. Mereka perlu diberi peluang menikmati kehidupan bermasyarakat, memahami maslaah masyarakat dan mengambil bahagian dalam proses pembangunan sosial masyarakat. Setiap remaja harus sedar masalah-masalah yang dialami di kampus turut berlaku di komuniti mereka di luar kampus. Wira dan wirawati seharusnya mampu membina kebolehan menabur khidmat untuk komuniti sebagai generasi baru yang mempunyai kesedaran terhadap tanggung jawab sosial, berkesedaran sivik dan mengutamakan solidariti masyarakat.

Objektif khusus modul khidmat komuniti adalah untuk membolehkan wira dan wirawati :

  • . membina semangat patriotisme dan semangat perpaduan menerusi modul khidmat komuniti
  • . memperoleh latihan praktikum kemahiran dan nilai yang telah dihayati semasa latihan modul fizikal,kenegaraan dan pembinaan karektor
  • . membangunkan kemahiran, pengetahuan dan nilai mengenai kesukarelaan
  • . menggalakkan penglibatan para remaja dalam pertubuhan sosial khususnya pertubuhan-pertubuhan belia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *